Thursday, December 24, 2009

Untuk KEY Tersayang oleh Fish



Awak kata awak adalah KUNCI untuk membuka pintu hati orang lain dan berharap orang lain disekeliling awak berasa gembira. Saya tak pernah meraguinya.

TAPI, adakah dua hati yang awak harap sangat untuk membukanya masih lagi terkunci? Ataupun ia telahpun terbuka cuma belum bersedia untuk memulakan langkah yang pertama?

Kita telahpun berkenalan selama 8 bulan. Walaupun baru 8 bulan, banyak perkara yang telah berlaku selama tempoh ini tetapi perkataan yang sampai ke telinga saya betul-betul menyentuh hati saya…
 
“Tusyen? Ya, nanti saya pergilah.”

“Ada buat kertas percubaan PMR setiap hari? Ya, nanti saya buat.”

“Dah ulangkaji? Ya, saya akan buat.”

“Jaga adik-adik? Okey, tak da masaalah.”

“…………………….”

“Saya adalah presiden, saya mesti hadir mesyuarat ni, boleh ke?”
“Tak boleh, peperiksaan lagi penting.”

“Persembahan tu merupakan aktiviti berkumpulan, saya mesti ada bersama barulah ia sempurna. Boleh tak saya ubah jadual tusyen saya?
“Tak boleh, peperiksaan lagi penting.”

“Wow, persembahan tu berjaya. Boleh tak saya hadir jamuan keraian tu? Semua orang bekerja kuat untuk menjayakannya.”
“Tak boleh, peperiksaan lagi penting.”

Dari ‘Discovery’ hingga ke ‘Explore’. Dalam 8 bulan, saya melihat awak berusaha dengan gigih dalam melaksanakan tanggungjawab awak. Adakah dua hati tu melihat semua ini? Mungkin. Adakah mereka mengiakannya? Dengan tidak membantah apa-apa, secara tak lansung menunjukkan cara mereka memberi sokongan. Kenapa permintaan awak masih tidak dipenuhi? ‘Kalau keputusan peperiksaan tak bagus, apa yang awak boleh buat untuk masa depan awak?’ (Saya bayangkan jawapan mereka.)

Tahun demi tahun, saya mungkin tak boleh selalu menghubungi awak seperti sekarang. Saya mungkin tak akan dapat mendengar cerita terkini awak lagi. Kalau awak betul-betul ambil berat tentang seseorang tetapkan hati dan kekalkan peribadi awak seperti dalam tempoh 8 bulan ini. Mahukah awak terus mara kehadapan dan menyinar walaupun tanpa sokongan istimewa dari kumpulan Hoyeh-sheyo? Adakah awak akan terus menjadi ‘KUNCI’ kegembiraan’? Mereka terlepas hari yang sangat penting bagi awak, ‘Majlis Graduasi’. Awak tak tau samada awak boleh bertahan lagi tak. Awak sejukkan hati awak dengan mengatakan bahawa mereka memang nak datang cuma terlalu sibuk aje. Tetapi, hati kecil awak berkata, ‘Kalau salah seorang datang pun sudah cukup menggembirakan… Mungkin mereka sengaja nak kejutkanku dengan tiba-tiba muncul aje di depanku. Haha…’

Malangnya, kedua-duanya pun tak hadir. Mereka terlepas peluang untuk melihat berapa banyak peningkatan berlaku dalam diri awak sejak persembahan Explore yang pertama hingga sekarang. Kematangan, kepimpinan……. : mereka terlepas peluang untuk menunjukkan kasih sayang dan sokongan mereka pada awak. Mereka terlepas peluang untuk menyaksikan anak perempuan mereka membuat persembahan di atas pentas dengan penuh keyakinan dan penuh dengan ciri kepimpinan. Sehingga ke penghabisan mereka masih tidak dapat memahami diri awak sepenuhnya selama berbulan-bulan ini. Bila melihat ramainya ibubapa yang memeluk anak mereka, saya lihat awak memencilkan diri awak dan menangis. Saya terus mendapatkan awak dan berkata, ‘Anak ku marilah peluk ibu’, masa tu saya dapat merasakan betapa syahdunya awak menangis.

Saya tak dapat menggantikan pelukan hangat mereka. Jika ibu bapa awak ada pada masa ni, dengan senyuman melebar merek, wajah penuh kebanggaan dan penuh dengan sokongan padu, awak akan meluru memeluk mereka. Kalau itu berlaku, segala kesengsaraan awak akan terhenti di sini.

“Ibu, saya tak marah ibu, terima kasih kerana membenarkan saya menghabiskan Explore”

“Ayah, saya sungguh tak percaya yang ayah datang, saya tahu ayah ambil berat tentang saya.”

Inilah ucapan yang bakal keluar dari mulut awak jika ibu bapa awak hadir. Tetapi bilakah masanya awak berpeluang untuk mengucapkannya?


No comments:

Post a Comment