Thursday, December 24, 2009

Tolong dengar kata-kataku! Oleh Kelip-kelip



Bilakah kali terakhir kamu duduk dan mendengar dari yang tersayang?

Inilah soalan yang selalu timbul dalam hatiku. Apabila aku melihat keluar tingkap bas yang kunaiki, kelihatan orang ramai mundar-mandir di luar pusat seni itu.

Bila? Duduk diam sambil mendengar dengan kusyuk, ayah, mak, anak-anak, suami, isteri, kawan atau yang tersayang. Dengar, apa yang mereka nak sampaikan dengan tekun tanpa mencelah sedikitpun. Bila?

Setiap insan selalu berharap ada orang yang sanggup mendengar keluhan mereka atau cukup menjadi pendengar setia tak kira peringkat umur. Betul tak? Karangan yang dibacakan oleh guru atau menjadi juara dalam pertandingan antarabangsa di mana berharap dapat dikongsi bersama ibu; anak yang patah kaki dan perlu dihantar ke hospital dengan segera, ingin cepat memberitahu suami tentangnya; hari ini di marahahi pelanggan di tempat kerja, mesti nak cerita pada buah hati tentang perasaan ini; cerita baru, “Cloudy with a chance of Meatball” cukup menarik, mesti nak kongsi dengan kawan-kawan tentang babak dalam cerita tu. Gembira, sedih, teruja, marah, ideal, aspirasi; semuanya merupakan perasaan yang ingin di sampaikan dan dirasai bersama orang yang tersayang. Berapakah masa yang kita mampu luangkan untuk merasai dan fahami bersama apa yang mereka cuba sampaikan.

Setiap hari kita akan cuba menyelesaikan segala jenis masalah baik yang mudah mahupun yang kompleks. Itulah, kadang-kadang ayat yang keluar: ‘Sibuklah, lain kali lah ye?; ‘Nak cepat lah, ada repot yang nak disiapkan esok, jangan kacau aku hari ni.’; ‘Letihlah hari ni, esoklah cerita.’; inilah antara ayat-ayat yang biasa kita utarakan bagi mengelak menjadi pendengar. Tapi adakah kita pernah melihat wajah-wajah mereka yang mungkin sugul, hampa dan sedih takala kita mengucapkan ayat-ayat tersebut? Hakikatnya, ayat-ayat inilah yang akan keluar dari mulut kita bila kita kepenatan atau terlampau sibuk.

Sudi menjadi pendengar untuk tersayang merupakan satu sokongan dan galakan buat mereka. Pepatah Cina mengatakan, ‘Kalau tak dinyalakan api, macamana nak terang’; maksudnya kalau tak dinyatakan macam mana kita nak tahu. Tak kira apa hubungan kita, kalau kita mendengar kata hati mereka tanpa bersuara, kita akan benar-benar dapat menyelami diri mereka dan ia akan menjadi panduan dan dorongan pada mereka.

Di dalam salah satu kem latihan, ada seorang budak lelaki berumur 14 tahun yang memakai kacamata yang sederhana tinggi dan aktif. ‘Kamu nak saya buat ini tapi saya tak mahu, apa yang kamu akan lakukan?’ Apa yang kita boleh fikirkan di sini jika ada budak belasan tahun berkata begitu dengan kita? Dia adalah budak lelaki yang selalu kami perkatakan kerana mendapat 2 kad merah pada hari pertama di kem ini. (Nota: Bagi setiap kesalahan akan diberikan 1 kad merah, bila 3 kad merah diterima oleh peserta, mereka ini akan dihantar pulang.) ‘ Okey, apa yang kamu mahu? Katakan saje. Jika ahli kumpulan kamu setuju, kamu boleh teruskan.’ Dia tergamam dengan kata-kata kami itu tetapi seketika dia terus menyampaikan perkara yang baginya tidak penting. Kemudian, mentor dan ahli kumpulan mula berbincang dan menganalisa tentang apa yang tidak dipersetujui oleh budak ini. Termasuk juga kehendaknya iaitu mahukan ayam yang lebih dalam tray makanannya. Akhirnya keputusan dicapai semua selepas mereka menyampaikan pendapat masing-masing. Dan dia juga akhirnya menamatkan kem latihan ini dengan jayanya.

Kadangkala kita mendengar ibubapa berkata tentang anak mereka, ‘ Anak saya mendengar kata’, ‘ Anak saya dah pandai menipu.’ Sebenarnya apakah masalah yang timbul di sini? Adakah anak-anak ini memang nakal dari mula? Ibu bapa patut belajar cara mengatasi masalah sebegini. Cuba dengar dengan baik apa yang anak kita cuba sampaikan dan bagi peluang pada mereka untuk membuat keputusan sendiri. Jangan sesekali gunakan pengalaman kita yang dulu dalam membuat keputusan untuk anak kita, beri lebih perhatian dan aturkan perjalan hidupnya dengan teratur. Setiap anak itu mempunyai keupayaan untuk membesar sendiri dan mereka berharap adanya orang lain dapat menghargai mereka secara penuh emosi dan fizikal serta penuh semangat. Mereka juga kadang kala ingin dilayan dengan lebih matang dan sempurna. Ibubapa selalunya akan bekerja kuat demi memenuhi permintaan anak mereka secara lansung atau tak lansung. Bagi anak-anak kasih sayang dan perhatian dari ibubapa mereka lebih penting dimata mereka.

Anak yang menipu mungkin sebab mereka fikir orang dewasa tidak akan marah. Kita yang dewasa secara psikologinya perlu sentiasa bersedia untuk mendengar kisah suka dan duka anak-anak ini dan boleh menerima mereka seadanya. Semasa anak-anak masih kecil, mereka tidak dapat membezakan keinginan dan kehendak mereka semasa mengutarakan permintaan mereka, mungkin semua itu atas dasar ingin cuba. Mari kita bayangkan jika anak ini bercakap benar dan kita yang dewasa akan terperanjat mendengarnya. Jadi adakah kita nak mendegar apa yang benar dari mereka? Ketidak sanggupan mendengar perkara yang benar tapi buruk bunyinya, menyebabkan mereka lebih baik menipu supaya kita tidak marah. Tidakkah kita juga yang mengajar mereka menipu secara tak lansung? Walaupun mereka bercakap bohong, kita tak patut marah cuma beritahu mereka yang kita tak suka mereka menipu tapi boleh meyampaikannya dengan cara dan ayat yang betul.

Ada seorang lagi dalam kem latihan, seorang budak perempuan berumur 17 tahun, yang tinggi dan kurus serta manis budaknya. Walaupun dia selalu tepati masa dalam setiap aktiviti tetapi dia sentiasa muram. Dia cuma senyum jika yang lain ketawa. Dia lebih suka mendengar dari berkata apa-apa. Sehinggalah pada hari ke 4 dalam kem latihan, dia terlibat dalam salah satu aktiviti. Dia menjadi ‘ibu’ dan kena menyediakan makan malam untuk semua ahli kumpulannya. Pada malam itu, semuanya berkumpul untuk perbincangan. Topiknya, ‘ Ahli Keluargaku’. Bila sampai pada gilirannya, dia menundukkan mukanya sambil berkata, ‘Ibu dan ayah saya sudah bercerai’, dan terus menangis teesak-esak. ‘Mereka bergaduh setiap hari, saya tak tahu apa nak buat. Saya takut tentang nasib yang akan menimpa kami adik-beradik.’ Melihat dia yang kesedihan hatiku tersentuh. Berapa lama agaknya dia menyimpan perasaannya itu? Aku tak tahu berapa banyak tekanan yang dihadapinya sepanjang usia mudanya itu. Hanya menangis agaknya. Jangan risau. Kamu selamat di sini. Semua ahli kumpulannya cuba mententeramkan dia dan ada juga yang turut menangis bersama. Malam itu dia menangis sehingga keletihan. Walaupun kita mungkin tak mampu membantu dalam menyelesaikan masalah ibu bapanya tetapi sekurang-kurangnya dia dapat merasakan ada orang lain yang turut berkongsi ceritanya dan menemaninya dikala kesedihan. Selepas tamat kem itu, kami masih lagi berhubung dan bertanya khabar tentang keluarganya. Pemahaman dan komunikasi antara ahli keluarga amatlah penting.

Jika kita betul-betul ambil berat tentang orang yang yang rapat disekeliling kita, ambillah masa mendengar cerita mereka. Biar mereka tahu bahawa kita sayang dan ambil berat tentang mereka. Sebab utama kita rasa selesa dalam hidup sesama manusia adalah adanya orang yang boleh dipercayai dalam berkongsi sebarang kisah hidup kita.

Jangan lupa, selain dari menjadi pencerita, kita juga patut jadi pendengar setia.

No comments:

Post a Comment