Thursday, December 24, 2009

Anak Yang Menyentuh Hatiku oleh Alex


 
Aku adalah seorang ayah yang menyekat anakku dari menyertai sebarang aktiviti kurikulum tambahan. Sepanjang hidupku dan hingga aku memperolehi pekerjaan yang cukup bagus, aku tidak pernah mempercayai sebarang bentuk ‘Kursus’. Tetapi ‘Majlis Graduasi’ telah memberi begitu besar perubahan dalam hidupku.


Walaupun anak-anak di atas pentas itu bukan anak ku, tapi apabila sijil dihulurkan pada mereka, airmataku mula menitis seperti aku telah mengikuti perkembangan mereka selama 5 bulan ini.

Dulu, dia tak pernah memandang mataku takala bercakap dengannya. Setiap kali aku bertanya apa-apa, dia akan menjawab dengan sinisnya. Bila aku bertanya kenapa ambil bahagian dalam KURSUS ini, dia akan menjawab, ‘mak yang paksa’. Semasa makan pun, aku dapati dia akan bergaduh untuk mendapatkan makanan yang lebih. Selain daripada waktu tusyen, makan malam dan masa menonton TV, kebanyakan masanya akan dihabiskan dengan melayari internet dibiliknya. Dia seperti anak yang masih dibangku sekolah rendah lagi. Oleh sebab sikapnya yang pelik itu, ibubapa nya terpaksa menghantar dia ke sekolah swasta kerana takut dia akan dibuli, walaupun tanggungannya besar. Aku dapat merasakan satu pembaziran kerana menghantarnya ke pelbagai jenis TRAINING kerana masih tidak mendatangkan apa-apa perubahan pun. Ibunya yang merupakan kawan baik ku, sentiasa berasa bimbang semenjak dia dilahirkan. Ibunya selalu bertanya kepadaku, macamana nak menyelamatkan dia. Malu kurasakan jika aku mengatakan ‘perkahwinan mu yang silap’. Aku tak pernah serius memikirkan masaalah yang dia hadapi. Masih adakah sistem pendidikan yang boleh membantu anak ini? Dalam diam aku lega kerana dia bukan anakku.

Teringat aku di waktu itu, dia menjemputku untuk menghadiri salah satu acara kerana tak dapat aku bayangkan bagaimana hatinya tergerak untuk menghubungi aku sedangkan dalam hatinya aku ini pakcik yang jahat dan selalu mentertawakannya. Katanya, dia mengambil bahagian dalan persembahan itu dan tiketnya mahal. Aku masih ingat lagi perbualan kami masa tu, ‘Tumpukan perhatian lebih pada pelajaran. Tarian dan nyanyian tak mendatangkan manafaat pada kamu’. Jawabnya, ‘Ini lain, persembahan ini untuk menbantu mereka yang memerlukan pertolongan.’ Tanpa berlengah lagi aku terus menjawab, ‘Tolong orang lain! Orang yang patut ditolong dulu adalah diri kau sendiri!’, kemudian dia terus senyap dan talian terputus. Dalam fikiran ku menyatakan betapa berani nya budak ini. Tapi, ibunya datang sendiri menyuruh aku pergi sampaikan sanggup membayarkan harga tiket tersebut. Aku sendiripun tak pasti apa yang bakal aku lihat nanti terutama pada petang Jumaat dan ditempat yang begitu sesak. Walau bagaimanapun aku tetap membeli dua tiket dan apa yang aku buat semua ini semata-mata kerana kawanku.

Pada hari persembahan, isteriku terpaksa kerja lebih masa, jadi aku membawa anak perempuanku yang berumur 13 tahun bersama. Perjalanan yang terlalu sesak dan hujan yang turun menyebabkan aku terasa ingin berpatah balik. Akhirnya aku sampai juga walaupun 15 minit lewat. Di foyer dewan, disediakan minuman dan snek ringan. Terdapat juga gambar-gambar termasuk tayangan video yang lansung tidak menarik perhatianku. Selepas anakku mengambil makanan, kami masuk ke dalam dewan. Apa yang nak ku komen ini bukanlah persembahan atau pelakonnya tetapi DIA, anak kawanku betul-betul berada di atas pentas tersebut. Lakonannya, nyanyiannya dan gerak tariannya cukup membuat aku terpana seketika. Dia melakukan itu semua betul-betul di depan mataku dan di atas pentas pulak tu. Walaupun persembahan itu panjang, aku tetap menonton sehingga tamat. Bagiku jalan ceritanya serta pelakonya bagus dan musiknya menarik. Hampir aku tak percaya ia berlaku. Dalam perjalanan balik, isteri ku menalipon aku berkali-kali, kenapa lambat dan kenapa dia tidak dijemput. Aku tidak menjawab, fikiranku melayang sambil mengerling anak perempuanku yang duduk di kerusi belakang. Ketika tu, ku berasa bersalah terhadap anakku.

Minggu lepas, aku terima panggilan dari anak kawanku lagi. Dia berkata, ‘Pakcik, saya nak jemput pakcik datang pada hari Graduasi saya, nak tak? Katanya lagi, ‘Kali ni tak sama macam dulu tu, kali ni persembahan berbentuk persendirian dan lebih teratur, ada persembahan, syarahan dan ……..’. Belum pun sempat dia menghabiskan ayat aku memotong katanya, ‘Pakcik sibuklah, tengah memandu ni.’ ‘Alah bolehlah, majlis ni untuk jemputan khas saja, kalau pakcik tak boleh, saya takkan tulis nama pakcik.’ Selepas mendengar kata-kata tu aku jadi marah lalu berkata, ‘Suruh ibu mu cakap dengan pakcik, kenapa masih suruh pakcik datang masa pakcik tengah sibuk, kenapa kamu pentingkan diri sendiri saja? Pakcik tak perlulah nak pergi majlis graduasi kamu tu untuk melihat apa yang kamu belajar sebab pakcik tahu kamu tak akan belajar apa-apa pun. Cepat, panggil ibu kamu.’ Dengan sedih dan takut dia menjawab, ‘Ibu tak tahu saya telefon pakcik, lagipun dia tiada di rumah. Okey, bye-bye.’ Dia cepat-cepat meletakkan gagang telefon seolah-olah seseorang sedang menakutkan dia. Jantungku berdegup kencang. Aku tau, kata-kataku tadi menyinggung perasaannya.

Dua hari kemudian, aku menghubungi ibunya dan memberitahu bahawa aku dan isteriku ingin menyertai upacara graduasi anaknya. Kawanku terperanjat tapi tidak berkata apa-apa. Kemudian kami berjumpa di SIME DARBY, tempat majlis graduasi anaknya dijalankan.

Lebih kurang 100 orang hadir menyaksikan upacara tersebut. Mereka yang sedang membuat persembahan itu digelar EXPLORES, di mana mereka mempersembahkan apa yang mereka perolehi dan pelajari sepanjang tempoh kursus mereka kepada kami yang terdiri daripada ahli keluarga, saudara terdekat dan kawan-kawan. Mereka berpakaian formal seperti seorang yang berwibawa, seolah-olah seorang eksekutif dalam menyampaikan pendapat mereka. Di atas pentas mereka bercakap dengan begitu berani dan begitu yakin sekali. Aku rasa terharu melihat apa yang berlaku di atas pentas dan keberanian anak ini memanggilku walaupun sudah dua kali dimarahi. Aku memandang isteri dan anakku tak berkelip. Kalau boleh aku mahu mereka juga menyertai kursus seperti ini tapi tak tau bagaimana nak menyatakan kepada kedua mereka.

Selepas penyampaian sijil, aku naik ke atas pentas dan berjabat tangan dengan anak kawanku itu. Isteri dan anakku hanya melihat saja airmataku menitis tanpa mengetahui apa sebabnya. Ayat yang pernah ku katakan pada anak ini terkena pada batang hidungku semula.

‘Tolong orang lain! Orang yang patut ditolong dulu adalah diri kau sendiri!’

Ayat ini sepatutnya ditujukan kepada aku. Terima kasih dan maaf kupinta



No comments:

Post a Comment