Monday, January 4, 2010

Rumah ku oleh Little White Face

“Kalau kamu rasa bagus sangat, jangan balik rumah lagi! Dan jangan bawa apa-apa pun walaupun seluar dalam yang kamu pakai tu!”
“Kalau kamu berani nak lawan cakap, ayah pukul nanti sampai kamu berhenti melawan.”
“Satu-satunya cara nak ajar budak ni ialah rotan saja. Kalau dia melawan, sebat aje terus. Apalah sangat kalau setakat sebat tu, buat aje sampai dia tahu sikit kesilapan dia.”
“Itulah, ini semua sebab awak, saya dah bagitahu dah, kena pukul sikit budak ni, awak tak nak, kenapalah awak tak nak dengar cakap saya ni?”
“Hah, kamu jangan fikir dengan tolong abang kamu , kamu akan terlepas dari kena pukul. Kalau perkara ni berlaku nanti, dengan kamu sekali ayah pukul tau?”
Bilakah semua ni berlaku? Seingat ku orang yang selalu berkongsi cerita dengan ayah adalah abangku. Ibu dan ayah tak pernah bergaduh tentang perkara remeh.
Semasa aku kecil, bila ayah sedang sambung belajar di China, dia cuma akan balik sekali setahun saja, itupun sekejap dan kadang-kadang tu sekali dalam 3 tahun. Kenangan indah yang paling kuingati ialah pelukan kuat yang hangat dari ayah. Tetapi sekarang tangan ayah pun tak sekuat dulu dan perutnya semakin membuncit dan yang paling aku sedih adalah hati kami yang semakin jauh dari ayah.
Kira-kira setengah tahun yang lalu, apabila ayah melihat abang main ‘computer game’ lagi, ayah akan mengeluarkan rotan keramat dia dan mula menyebat abang. Setiap kali abang melawan, sebatan demi sebatan akan hinggap ke badan abang hinggakan sampai berdarah dan ibu pula akan terus menangis sambil merayu ayah supaya berhenti. Seingat ku ayah dan ibu pernah bergaduh masa aku kecil dulu dan walaupun perkara tu taklah serius tapi ibu tetap menangis. Bagaimanalah ibu mampu bertahan dengan bebanan yang ayah menyalahkan ibu pasal perangai anak-anaknya? Semua ini telahpun berlalu hampir setengah tahun yang lalu….
Apa yang aku boleh buat? Setiap malam aku akan mendengar ayah memarahi abang dan abang pulak akan menjerit mempertahankan dirinya dan ibu… merayu mereka supaya berhenti sambil menangis. Apa lagi yang mampu aku buat selain membiarkan saja seolah tiada apa yang berlaku dan meneruskan tidurku. Tiada siapa yang patut disalahkan atas apa yang berlaku kerana kami masih menyayangi keluarga ini. Cuma setiap orang ada tanggungjawab dan masalah sendiri. Aku harap dapat menyelamatkan abangku dari ‘peperangan’ ini. Tetapi berapa kali aku mampu menyelamatkannya lagi? Apapun abangku harus pulang dan hadapi masalahnya sendiri tapi dia selalu marah dan menjadi semakin garang setiap kali…
Berbulan telah berlalu sejak abang kena pukul. Sekarang ayah dan abang tak bercakap antara satu sama lain, hari terakahir mereka bercakap adalah setengah tahun dulu dimana mereka bertengkar.Hubungan antara ibu dan ayah tidak lagi seperti dulu di mana mereka boleh berbual dari pagi sampai malam. Sekarang bila ibu cuba berbual dengan ayah, dia buat tak tahu saja.
Abang pula masih lagi asyik dengan ‘computer game’ dan ayah sudah buat tak peduli tentang apa pun lagi. Beban ibu semakin berat setiap hari, dengan pelajaran ku, adik ku yang semakin menunjukkan minat kepada ‘computer game’ dan abang pula memujuk ibu supaya beri dia duit untuk mewarna rambutlah, penjagaan mukalah dan juga bayaran di syber kafe dan dia lansung tak hiraukan peperiksaan PMR nya yang akan datang. Dia boleh terusan mengadap komputer sampai pukul 4 pagi semasa peperiksaan dan sudah banyak kali dia hampir dibuang sekolah. Bila masa ibu cuba berbincang dengan ayah, dia hanya berkata, “Saya dah banyak kali kata budak macam tu mesti kena pukul. Awak tak nak buat jadi sayalah buat untuk awak.” Aku tak tahu macamana perasaan ibu bila kata-kata ini berulang kali didengar di telinga ibu. Ibu tahu, merotan bukanlah cara terbaik untuk menasihati abang dalam masa yang sama dia rasa kasihan melihat badan abang birat-birat; dan ibu rasa tertekan bila ayah masih dengan sikap degil dan tetap dengan pukulannya, tak kira walau apapun ibu cakap.
Apakah bezanya dengan keganasan domestik? Walaupun sakit dibadan tak seberapa tetapi kesan di hati terlalu mendalam. Aku fikir walaupun abang terlibat dalam ‘keganasan domestik’ ini tetapi antara kami masih lagi berkomunikasi.
Apa lagi yang aku boleh buat?
Siapakah yang dapat bantu aku?